SAHABAT SEJATI
“Sebaik
baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya
dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap
jirannya” (H.R al-Hakim)
‘Teman
yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat
akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat
gerak-gerinya teringat mati..’
ALLAH
SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu
juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari
berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak
suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap
ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.
Inilah
antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai
bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat
ayat 13, yang bermaksud:
“Wahai
umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan
perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan
berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan(dan
beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu
di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha
mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuanNya.’
DALAM
Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan
adalah hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan
dalam membentuk personality individu. Ada kawan yang sanggup
bersusah-payah dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga
kawan yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi
kegembiraan sahaja.
Pendek
kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah
pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan
hadith Rasululah saw yang bermaksud: “ Seseorang itu adalah mengikut
agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang
menjadi temannya” (H.R Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “ Bersahabat
dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya,
manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan
baju kita.”
Apakah
ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan
kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu
untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang
yang sifatnya seperti berikut:
- Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
- Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
- Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
- Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
- Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
- Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
- Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
- Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;
- Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
- Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
- Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
- Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
- Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
- Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.
Sebagai
remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika
memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh
menjahanamkan kita.
Hati-hatilah atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:
sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri sendiri.
sahabat hipokrit: ia
menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal-hal lampau, atau hal-hal
mendatang; ia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong; dan
jika ada kesempatan membantu, ia menyatakan tidak sanggup.
sahabat pengampu: Dia
setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang
parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan
kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia
merendahkan dirimu.
sahabat pemboros dan suka hiburan: ia
menjadi kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan ‘melepak’
pada waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan
pertunjukan.
Hati-hatilah
memilih kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang.
Apa pun berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-NYA.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar