Cinta adalah
makhluk tidak bernyawa. Ia tidak berjisim, tidak berjirim, tidak punya
rupa dan fizika. Tetapi ia ajaib dan berkuasa. Ia menjalar dalam jiwa
dan menggetarkan rasa. Siapakah sang ajaib Penciptanya?
Cinta
adalah biasan dari Penciptanya yang Maha Pencinta. Ia dibiaskan kepada
segala ciptaan-Nya supaya mereka dapat hidup dalam cinta, kasih dan
mesra, serta aman bahagia.
Cinta
adalah fitrah dan cinta adalah suci. Cuma, kerana hawa nafsu buas, cinta
disalahgunai. Cinta suci telah dicemarkan oleh manusia yang tamak,
tidak sabar, gelojoh, rendah akal dan terpengaruh oleh hasutan dan
desakan keji syaitan.
Masa
remaja adalah masa cinta berbunga. Pantas sekali remaja bercinta,
mencari cinta dan mahu dicintai. Cinta remaja kini sudah menjadi
fenomena. Di merata-rata didapati remaja bercinta, malah tenggelam dan
hanyut dalamnya, lalu mati, terkorban, korban cinta yang ngeri dan
menjijik serta bangkainya membusukkan.
Berbicara
soal cinta remaja adalah berbicara soal hubungan dan pergaulan remaja
lelaki dan perempuan. Yang dimaksudkan dengan cinta remaja dalam tulisan
ini hanyalah cinta remaja yang bathil, yang salah, yang terlarang, dan
yang haram, dan bukan cinta remaja yang suci. Yang dimaksudkan dengan
cinta remaja dalam tulisan ini ialah cinta remaja sebelum mereka
bernikah, iaitu mereka bercinta dengan lelaki bukan hak halal mereka ie:
bukan suami mereka.
Senarai beberapa panduan dalam manual kehidupan seorang bernama Muslim:
1. Hubungan Lelaki dan Wanita atas Keperluan
Umum
mengetahui bahawa sistem kehidupan manusia yang paling sempurna dan
agung ie Islam membataskan hubungan antara lelaki dan wanita dengan
hikmah tertentu yang Allah lebih mengetahui sebagai Pencipta kedua-dua
jantina itu. Dari pemisahan tempat solat dan susunan sofnya sudah
ternyata hakikat pemisahan antara lelaki dan wanita. Komunikasi antara
dua jantina ini bagaimanapun diizinkan dalam hal-hal keperluan seperti
urusan muamalat harian, tetapi tidak dalam hal-hal kehendak yang banyak
didorong oleh hawa nafsu seperti kehendak berhibur dan berseronok lelaki
dengan wanita luar nikah. Kehendak seperti itu adalah berlandaskan
hasutan syaitan dan desakan hawa nafsu semata yang mengindahkan dunia
sementara tapi mengazabkan akhirat hidup yang selama.
Cinta
remaja adalah perlakuan yang terkategori dalam kehendak yang berlandas
hawa nafsu. Maka ia adalah perhubungan yang tidak terizin, dengan kata
laras hukum; haram.
2. Khalwat Fizikal dan Khalwat Hati adalah haram
Rasulullah s.a.w bersabda "Setiap kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita, syaitan akan menjadi orang ketiga."
Sudah
termaklum dalam masyarakat Muslim bahawa khalwat adalah haram. Umumnya,
orang memahami bahawa khalwat terjadi hanya setelah seorang lelaki dan
seorang wanita bersama-sama bersendirian, terutama di tempat tiada orang
lain. Khalwat itu bahaya dan haram. Persoalannya, apakah tidak
berkhalwat, tidak bahaya dan tidak haram jika ada tiga orang atau lebih
terdiri daripada lelaki dan wanita, di suatu tempat yang di sana mereka
tidak ada perasaan malu lagi untuk berbuat maksiat, seperti di
pusat-pusat hiburan dan arak? Persoalan lain, apakah tidak berkhalwat,
tidak bahaya dan tidak haram dua orang dari lelaki dan wanita
bersama-sama di khalayak ramai, sedang hati kedua-duanya tertaut rapat
oleh hawa nafsu dan perlakuan kedua-duanya adalah perlakuan seperti
orang berkhalwat, yang tidak rasa malu kepada sesiapa di sekeliling,
bahkan tidak rasa malu kepada Yang Maha Melihat? Persoalan lain lagi
ialah apakah tidak termasuk khalwat dua orang lelaki dan wanita yang
terjalin dengan hubungan hati berlandas maksiat dalam perbualan secara
langsung mahupun melalui telefon dan alat komunikasi lain?
Ternyata
kondisi-kondisi tersenarai di atas adalah maksiat semata dan terkategori
khalwat juga, kerana khalwat itu bukan pada fizikal sahaja, tetapi juga
pada hati, malah khalwat hati itu lebih terdahulu bermula kerana setiap
perbuatan dan perkataan adalah hasil dari ilham hati. Khalwat jasadi
(badan) hadir setelah khalwat qalbi (hati).
Dalam
soal cinta remaja, khalwat secara fizikal di tempat tiada orang lain
berkemungkinan terjadi, bahkan memang sejarah membuktikan ia pasti
terjadi, yang menentukan hanya asri (masa), lambat atau cepat. Lebih
mudah terjadi dari khalwat jasadi ialah khalwat hati yang berlangsung
secara terbuka atau tertutup. Dalam situasi terbuka umpama pertemuan
lelaki dan wanita di khalayak umum, jasad keduanya tidak berkhalwat,
tetapi hati keduanya bias saja berkhalwat melalui tautan nafsu yang
melahirkan kata-kata lunak manja wanita dan pandangan serta jelingan
mata panah syaitan. Disebabkan khalwat hati, remaja bercinta hilang
perasaan malu kepada orang lain dan kepada Rabb mereka, sekalipun di
tempat umum dan di khalayak ramai, mereka melakukan apa saja maksiat
yang memenuhi citarasa hawa nafsu. Tambahan lagi masyarakat
individualistic hari ini sudah tidak peduli maksiat berlangsung hebat
depan mata mereka asal kamu nikmat dan aku tidak terganggu bahkan dapat
mengongsi sama nikmat maksiatmu. Astaghfirullah. Na'uzubillah. Khalwat
hati bisa saja terjadi sepanjang perhubungan langsung muka ke muka
mahupun melalui media; telefon, pesanan tek, surat, emel dan sebagainya.
Jelas bahawa cinta remaja adalah terlarang kerana khalwat fizikal dan
hati yang mengisi cinta remaja itu adalah haram.
3. Bertentang Mata adalah Panahan Beracun Iblis
"Pandangan
itu adalah panahan beracun Iblis. Siapa yang meninggalkannya kerana
takutkan Aku nescaya akan Aku gantikan ia dengan iman dan dia akan
memperoleh kemanisan dalam hatinya." (hadis riwayat at Tabrani dan al
Hakim)
Tentu
sekali tidak ada antara kita yang mahu terkena panahan, apalagi panahan
beracun. Inikan pula panahan beracun yang bukan sebarangan, tapi panahan
beracun dari musuh kita, Iblis dan syaitan yang dilaknat Allah. Terkena
panahan saja, kita tidak mahu kerana ia menyakitkan. Semua orang dapat
mengagak kesakitan dari terkena panahan. Bertentang mata antara lelaki
dan wanita sebenarnya menyakitkan kerana ia adalah dosa dan dosa pasti
menyakitkan di neraka nanti, walaupun tidak sekarang menyakitkan tetapi
akan menyakitkan di hari kemudian; akhirat. Hanya pada fizikalnya
pertentangan mata lelaki wanita itu tidak menyakitkan, malah menikmatkan
kerana ia berempahkan nafsu, padahal hakikatnya amat menyakitkan.
Panahan
kosong saja sudah sangat menyakitkan, apa lagi panahan beracun. Semua
orang tahu racun kesannya bukan sedikit, malah boleh bertindak cepat dan
menyebar ke seluruh badan, hingga ia mengalir dalam darah dan meracuni
seluruh urat, saraf, otot dan anggota . Bertentang mata lelaki wanita
itu panahan beracun. Maka amat senang sekali dimengertikan kita bahawa
ia akan segera menusuk masuk dalam darah, dan berlari, menyebar ke
seluruh badan dengan pantas serta menyerang bahagian-bahagian badan
lain. Sebab itu, sekali saja bertentang mata lelaki perempuan, hati
dengan pantas terus bergetar, bergegar dengan niat dan bayangan yang
jahat, dan seluruh anggota pun bangkit bersemangat untuk bertindak,
padahal tindakan itu adalah maksiat. Demikianlah kuasa tindak sepantas
kilat yang bisa tergenerate dari sekilas pertentangan mata dua jantina.
Apatah
lagi panahan beracun ini bukan milik pemanah sebarangan, tapi si pemanah
musuh kita yang jelas lagi nyata. Dan dia musuh yang berkuasa. Mesti
dan sedapat-dapatnya kita mengelak panahan beracun ini.
Menyentuh
cinta remaja, seolah-olah terbayang remaja lelaki dan perempuan
bergelimpangan, mati merana dan merata di jalanan kerana terkena panahan
beracun Iblis dan syaitan. Bagaimana mereka bisa mengelak dari terkena
panahan itu kalau mereka sendiri yang pergi mencari-cari dan
menghadapkan diri dan mata mereka pada panahan itu. Amat sukar dan
ironis untuk difahami, mereka itu pergi menghadapkan diri di depan
panahan beracun syaitan secara berdepan-depan, seolah–olah menyerah diri
dan lagi mereka mengambil jarak yang amat dekat, sehingga kuasa panahan
yang mengena itu amat kuat.
Memang
telah terang lagi nyata, panahan beracun Iblis itu bahaya dan setiap
yang bahaya tidak boleh diambil, dilarang mengambilnya apatah lagi
bermain-main dan berseronok dengannya. Pertentangan mata lelaki wanita
itu bahaya, maka dilarang bahkan haram melayani, bermain-main dan
berseronok dengannya. Pendeknya, cinta remaja yang sudah semestinya
terbina dari pertentangan-pertentangan mata lelaki dan wanita itu adalah
bahaya, maksiat, dosa dan haram.
4. Suara Lunak Lemak Manja Wanita adalah Aurat
Surat
al Ahzab ayat 32: "Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah
seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk
dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam
hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik" . Yang dimaksud
dengan tunduk di sini ialah bukanlah tunduk pandangan semasa berbicara,
tetapi tunduk di sini bermakna melembutlunakmanjakan suara semasa wanita
berbicara dengan lelaki sehingga bias menimbulkan keberahian lelaki itu
untuk bertindak tidak baik terhadap mereka. Contoh sikap demikian ialah
bertutur secara lunak, lemah gemalai, manja, dan menggoda hawa nafsu
lelaki. Yang dimaksud dengan dalam hati mereka ada penyakit ialah orang
yang mempunyai niat berbuat serong dengan wanita, seperti melakukan zina
atau pembukaan kepadanya.
Nah!
Isteri-isteri Nabi yang merupakan para wanita yang paling mulia dan
merupakan ibu kepada kaum mukminin itu pun diberi panduan, amaran dan
peringatan agar tidak melunakkan suara apabila berbicara dengan lelaki.
Para isteri Nabi yang suci pun diberikan peringatan keras, apatah lagi
kaum mukminat seluruhnya. Kaum lelaki dalam kuatnya secara jasadi
sebenarnya lemah terhadap tarikan wanita. Ternyata percakapan wanita
yang lunak, manja, dan menggoda kepada lelaki yang bukan merupakan
suaminya adalah maksiat yang jelas dan tentunya haram. Sedang dalam
cinta remaja itu, lagak pergaulan, percakapan dan komunikasi antara
kedua-dua orang dari pasangan remaja itu tidak banyak bezanya dengan
lagak pergaulan seorang suami isteri yang semestinya berkasih-kasihan
dan manja kepada pasangannya semasa perhubungan dan perbualannya. Mereka
bertutur dengan kata-kata manja dan nada menggoda. Perlakuan sedemikian
padahal tidak layak sama sekali bagi pasangan bukan suami isteri,
bahkan haram. Demikian sebabnya, cinta remaja yang memang mengandung
perlakuan tidak halal ini adalah terlarang, malah haram.
5. Bersentuhan antara lelaki dan wanita
Bersentuhan
antara lelaki dan wanita menurut syariat (undang-undang) Islam adalah
haram. Bersentuhan saja sudah haram, apatah lagi perlakuan yang lebih
dari itu. Rasulullah s.a.w bersabda: "Jika
kepala kamu ditikam dengan besi, itu lebih baik daripada kamu menyentuh
wanita yang tidak halal untuk kamu." (hadis riwayat at Tabrani dan al
Baihaqi). Kepala ditikam dengan besi itu bukan hal yang baik,
malah terlalu pedih azabnya. Tapi, ini dikatakan lagi bahawa hal yang
terlalu pedih azabnya itu (kepala ditikam dengan besi) lebih baik
daripada lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuhnya. Ini
sudah bermakna, lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuh
itu terlalu jauh lebih teruk dan buruk dari teruk dan pedihnya kepala
ditikam dengan besi. Kami berlindung dengan Allah dari hal itu. Buruk
dan teruknya lelaki menyentuh wanita yang tidak halal untuk disentuhnya
itu adalah dari aspek moralnya dan juga dari aspek hukumannya yang
tersangat dahsyat di hari perhitungan kelak.
Dalam
kasus cinta remaja, kalau sudah wujud pertemuan jasadi (ie dating) malah
pertemuan qalbi (hati) itu, pastilah berlaku kedekatan secara jasad (ie
fizikal lelaki dan wanita berada dalam jarak yang dekat, "close
proximity "wink. Padahal lelaki dan wanita itu ibarat dua magnet berbeza
kutub, pastilah saling tarik menarik apabila berdekatan. Semakin dekat
kedudukan, semakin kuat tarikannya. Tarikan itu akhirnya berakhir dengan
sentuhan antara keduanya, malah bukan sekadar tersentuh, bahkan terikat
rapat, erat dan ketat. Itu sudah hukum logik ciptaan Pencipta lelaki,
wanita dan magnet. Begitulah juga lelaki dan wanita, tarikan antara
keduanya tidak ubah seperti tarikan dua magnet. Maka memang berlaku
kemungkinan, malah bukan setakat mungkin, realiti yang lepas sudah
membuktikan bahawa berlaku persentuhan antara jasad lelaki dan wanita
dalam cinta remaja, malah banyak kasus yang melebihinya hingga berlaku
perihal yang tidak diminta. Bencana dan dosa zina.
Disebabkan
cinta remaja itu mengandungi komponen haram, ie bersentuhan antara
lelaki dan wanita, maka cinta remaja itu sendiri adalah haram. Itulah
hakikat yang terpaksa diterima sebagai seorang Islam, sesuai dengan
makna Muslim iaitu tunduk dan patuh pada Allah, seluruhnya dan
sebulat-bulatnya secara total, tanpa argumen.
6. Perkara yang mendekatkan kepada zina
Sudah
jelas dalam syariat Islam bahawa zina itu haram. Telah jelas juga
termaktub dalam Perlembagaan Tertinggi bagi orang Islam iaitu al Quran
bahawa perkara yang mendekatkan kepada zina juga adalah haram. Surat
al Israk ayat 32 menjelaskan "Dan janganlah kamu mendekati zina;
sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan
yang buruk." Pernyataan 'jangan' dengan jelas menunjukkan
bahawa perbuatan mendekatkan kepada zina adalah haram. Cuma, masyarakat
Islam yang belum jelas hakikat ini. Kalau pun sudah jelas, sengaja
berpura-pura tidak tahu seolah-olah ayat ini tidak pernah exist dalam al
Quran yang mereka baca secara lisan. Padahal kepura-puraan mereka itu
hanyalah menipu diri sendiri kerana hendak menurut, memuja, mengagung
dan memuaskan nafsu yang memang suka kepada perbuatan terlarang
mendekatkan diri kepada zina.
Lagi
dalam hal cinta remaja, perkara yang mendekatkan kepada zina memang
jelas wujud. Berkedudukan lelaki dan perempuan dalam jarak dekat, baik
secara terlindung (khalwat) atau pun secara jelas di khalayak (ie dating
di tempat awam atau rumah makan), persentuhan lelaki perempuan, bahkan
yang lebih dari itu, pertentangan pandangan mata, pandangan mata kepada
berlainan jenis secara bernafsu, perbualan lelaki perempuan yang intim,
mesra, manja, lunak, menggoda dan bernafsu, pembukaan dan pendedahan
aurat terutama di pihak wanita, semuanya adalah perkara-perkara yang
membuka pintu, mendorong, menggalakkan, memudahkan, meransang, membawa
dan mendekatkan kepada zina. Hal-hal ini wujud dalam cinta remaja, maka
cinta remaja itu sendiri adalah pembuka pintu, pendorong, penggalak,
pemudah, peransang, pembawa dan pendekat kepada zina.
Maka
sekali lagi jelas, bahawa perkara yang mendekatkan kepada zina itu haram
dan kerana cinta remaja itu mendekatkan kepada zina, maka cinta remaja
adalah haram.
Jadi, apa jalan yang halal?
Pertanyaan
ini pasti berlegar di pemikiran para remaja yang di zaman emas cinta
ini amat membutuhkan untuk mencintai dan dicintai, kerana itu memang
sudah fitrah ciptaan Ilahi. Sesungguhnya cinta itu suci. Surat an Nur
ayat 32 menjawab pertanyaan di atas: " Dan
kahwinkanlah orang-orang yang sedirian antara kamu, dan orang-orang yang
layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba
sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan
mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha
Mengetahui." Memang ternyata
perkahwinan adalah penyelesai masalah, kerana sesudahnya semua yang
haram sebelumnya menjadi halal. Wah, indahnya!
Tetapi
realitinya, banyak remaja belum siap untuk kahwin. Bahkan, dalam
konsepsi yang salah, mereka seperti memandang kahwin itu penghalang
keseronokan, pengakhir zaman keemasan dan pelbagai fahaman yang silap,
kerana mereka tidak mengerti bahawa kahwin itulah justeru pembangkit
keseronokan hidup, kebahagiaan, ketenangan dan pemula zaman emas dalam
hidup dan cinta. Lantas, bagaimana bagi mereka yang belum sedia untuk
kahwin atau belum mampu, padahal keinginannya sentiasa mahu.
Islam
sebagai sistem yang lengkap dan penyelesai masalah, bukan penyebab
masalah, tetap saja mempunyai penyelesaian untuk problematika itu. Surat
an Nur, ayat 33 menjawab; "Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin
hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka
dengan karunia-Nya. Dan hamba sahaya yang kamu miliki yang memginginkan
perjanjian, hendaklah kamu buat perjanjian dengan mereka, jika kamu
mengetahui ada kebaikan pada mereka, dan berikanlah kepada mereka
sebahagian dari harta Allah yang dikaruniakan-Nya kepadamu. Dan
janganlah kamu paksa hamba-hamba wanitamu untuk melakukan pelacuran,
sedang mereka sendiri mengingini kesucian, karena kamu hendak mencari
keuntungan duniawi. Dan barangsiapa yang memaksa mereka, maka
sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (kepada
mereka) sesudah mereka dipaksa itu."
Menutup Aurat dan Menyembunyikan Perhiasan Wanita
Ayat
31 surat an Nur juga memberi panduan khususnya untuk wanita, dalam
upaya memelihara kesucian diri: "... janganlah mereka menampakkan
perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. ..."
Perhiasan pada diri wanita itu terbahagi dua; perhiasan internal dan
perhiasan eksternal. Badan wanita itu sendiri adalah perhiasan dan
merupakan perhiasan internal. Sedang segala perhiasan yang dipakaikan
kepada wanita itu dari pakaian, barangan kemas, bau-bauan, warna-warnaan
dan lain-lain adalah perhiasan eksternal. Maka, wanita sewajibnya tidak
menampakkan perhiasan internal dan eksternal mereka. Aurat wanita
adalah sebahagian dari perhiasan internal. Maka aurat hendaklah
ditidaknampakkan atau disembunyikan dari pandangan lelaki baik dari segi
permukaan aurat itu, warnanya, malah bentuknya ie bentuk anggota badan
terutama yang sensitif pada pandangan lelaki. Pernyataan "... kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. ..." dalam ayat 32 surat an Nur
itu merujuk perkara yang pada waktu kebiasaannya memang tampak, seperti
luaran pakaian, muka dan tangan. Tapi itu tidak bermakna wanita boleh
berpakaian, atau menghias muka dan tangan sampai boleh menarik perhatian
lelaki seperti memakai pakaian yang ketat atau sendat ke bentuk badan,
nipis hingga menampakkan dalaman badan atau berwarna terang ranggi yang
menarik perhatian, atau memakai bau-bauan semata menarik perhatian,
umpama warna dan bau bunga menarik kumbang. Muka dan tangan pun tidak
sepantasnya dihias sehingga menarik perhatian lelaki bukan suami. Sedang
larangan inilah yang menjadi budaya wanita moderat hari ini. Inilah
cabaran dan ujian buat Muslim agar mereka layak diganjari syurga di mana
Muslimat akan menjadi bidadari dan Muslimin akan bercinta dengan mereka
Dengan seindah-indah cinta syurga yang tidak pernah wujud dalam cinta hawa nafsu manusia dunia yang hina.
Diberikan lagi panduan dalam ayat
31 surah an Nur manual bagaimana wanita hendak memelihara kesucian diri
"... Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan
janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau
ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau
putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau
putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara
perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka
miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan
(terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat
wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan
yang mereka sembunyikan."
Diberikan
panduan secara jelas, terang lagi bersuluh agar wanita menutup
perhiasannya dengan lebih kemas pada bahagian tertentu dari perhiasan
itu. " ... Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, …".
Memang dapat difahami bahawa ia perlu ditutup dan tidak dibuka, perlu
ditidaknampakkan bentuknya, serta penutupan itu bersifat menyeluruh
bukannya parsial, iaitu meliputi seluruh anggota dan bukan
separuh-separuh saja atau sekadar ambil-ambil nama tutup. Yang ditutup
itu adalah perhiasan, maka selayaknya ia ditutup secara total supaya
sedikitpun tidak terkena kotor. Ada yang mempersoal, kalau ia ádalah
perhiasan kenapa ia mesti ditutup sedangkan perhiasan adalah untuk
ditayang dan diperagakan. Ya, memang ia untuk ditayang dan diperagakan,
tapi ia bukan perhiasan sebarangan yang boleh ditayang kepada sesiapa
sahaja dan pada bila-bila masa, tetapi dia ádalah perhiasan yang
tersangat mahal, mulia dan istimewa dan layak ditayang pada masa-masa
tertentu di tempat-tempat tertentu kepada orang yang istimewa dan berhak
sahaja ie suami tercinta.
Menjauhi Perbuatan yang Menarik Perhatian Lawan Jantina
"… Dan
janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka
sembunyikan." Satu lagi panduan berguna buat menjaga kesucian diri.
Secara fiziknya dapat difahami bahawa perbuatan memukul kaki itu
termasuklah menggerakkan, melangkah, menghayun atau menggoyangkan kaki
agar mengeluarkan bunyi (sama ada dari hentakan sandal, loceng, gelang
kaki atau lain-lain) untuk menarik perhatian lelaki terutama semasa
berjalan. Amat ironis perbuatannya, pada masa dia berbuat ketaatan
kepada Rabbnya dengan menyembunyikan perhiasannya, pada masa sama juga
dia ingin berbuat keingkaran (maksiat) kepada Rabbnya. Dia berbuat
begitu semata-mata kerana masih mahu menurut hawa nafsunya, padahal dia
pun tahu bahawa kaki yang hendak digunakan untuk maksiat itu pun dari
Allah. Tidakkah dia berasa malu menggunakan harta seseorang untuk
menentang orang itu sendiri, padahal dia hanyalah peminjam harta itu (ie
kaki)?
Berpuasa
Berpuasa adalah saranan yang amat berkuasa dan berkesan dalam menjaga kesucian diri. Rasulullah telah memberitahu dengan jelas: "Wahai
para pemuda, siapa sahaja di antara kalian yang mampu menikah, maka
menikahlah. Dan siapa sahaja yang belum mampu menikah, hendaklah ia
berpuasa, sebab puasa itu memiliki pembenteng (wija)" (HR. Bukhari
Muslim).
Ternyata
sekali bahawa puasa itu benteng kukuh untuk para mukminin dan mukminat
terutama para remaja Islam yang belum kahwin dalam usaha menjaga
kesucian diri dari melakukan fahsyak kerana desakan hawa nafsu dan
bujukan syaitan berupa jin dan manusia. Ya, hari ini jin-jin syaitan
tidak nampak kerana ghaib tetapi syaitan berupa manusia memang banyak
berkeliaran di mana-mana bahkan mereka bergiat mendakyahkan kemaksiatan
kepada manusia melalui pelbagai sarana, media dan wacana.
Surat
al Baqoroh 183 memberitahu hasil puasa: "Hai orang-orang yang beriman
diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang
sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa." Ya, itu
kesannya puasa, menghasilkan muslim yang bertaqwa. Muslim bertaqwa tentu
sekali menjaga kesucian dirinya secara awas dan ketat.
"Puasa itu menjadi perisai." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Satu lagi hadis yang menyokong kekuatan puasa sebagai wahana berguna
dalam upaya menjaga kesucian diri. Puasa secara saintifiknya mengecilkan
pembuluh darah sekaligus menyukarkan syaitan untuk berlari di dalamnya,
secara automatis men de-active kan mereka.
Semoga
kita semua tergolong dalam orang-orang yang suci dan menjadi orang yang
mensucikan diri. Sesungguhnya Allah itu Maha Suci dan menyukai kesucian,
lahir dan batin.
Sucikanlah dosa kami Ya Rabb yang Maha Suci.
Amin.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar